Sunday, October 31, 2010

BAB 3 DAN PENUTUP

BAB 3:
CARA MEMPERKEMBANGKAN LAGI QIRAAT DI MALAYSIA
Adalah wajar pihak-pihak tertentu mengambil langkah dan usaha ke arah memperluaskan lagi penyebaran ilmu tajwid kepada masyarakat terutama masyarakat Islam di Malaysia. Untuk itu beberapa pandangan dan langkah perlu diambil kira dalam menjayakan usaha tersebut, antaranya: Pihak Kementerian seharusnya memasukkan mata pelajaran ilmu tajwid dalam sukatan pelajaran di sekolah rendah dengan lebih terperinci.
Ini kerana buat masa sekarang pelajaran ilmu tajwid hanya diajar secara umum di sekolah rendah, tidak terperinci seperti sukatan pelajaran yang dahulu. Itupun diterapkan semasa murid berada di tahap 2 sahaja.
Pihak kementerian juga seharusnya memperkembangkan kelas- kelas aliran pengajian tahfiz kepada pelajar-pelajar peringkat menengah. Ini kerana kebanyakan kelas tahfiz diambilalih oleh pihak swasta atau kerajaan negeri sepertimana Maahad Sains Tahfiz yang dikendalikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Walhal kelas seperti ini sepatutnya wujud dalam semua negeri di seluruh Malaysia.
Selain itu, menggalakkan pembacaan al-Quran bertajwid kepada golongan dewasa dengan mengadakan pertandingan bacaan al-Quran secara bertajwid samada di peringkat kampung, daerah, negeri dan lain-lain. Ini akan menggalakkan golongan dewasa berminat untuk mempelajari ilmu tajwid.
PERANAN INSTITUSI-INSTITUSI YANG TERLIBAT
Darul Quran dan Maahad Tahfiz menunaikan fardu kifayahnya dengan menjadi satu pusat untuk mengembangkan ilmu Qiraat terhadap masyarakat. Dengan menunaikan tuntutan ini juga maka ia merupakan satu usaha ke arah memelihara al-Quran dari sebarang penyelewengan dengan melahirkan generasi huffazul Quran yang berpendidikan dunia dan akhirat, Melalui pendidikan di Darul Quran juga akan melahirkan insan yang mempunyai personaliti yang tinggi.

Pendidikan di Darul Quran dan Maahad Tahfiz juga bertujuan melahirkan pelajar dalam bidang tahfiz dan Qiraat. Seterusnya para pelajar di sini juga di beri pendedahan dengan ilmu dakwah dari segi kepimpinan, metodologi, komunikasi dan psikologi dakwah di mana dengan ini akan melahirkan generasi pendakwah yang akan dapat menjana masyarakat Islam yang berilmu dan dapat menjadi insan yang terpuji.
Darul Quran memainkan peranan yang penting ke arah melahirkan para huffaz dan du’at yang berkemahiran dalam bidang al-Quran seterusnya berwibawa dan berketrampilan melalui program Diploma Tahfiz Al-Quran dalam kerangka membina ummah yang berkualiti.
Darul Quran dan Maahad Tahfiz juga berobjektifkan untuk melahirkan golongan professional yang hafiz, generasi yang bertakwa, berilmu dan bermanfaat serta mahir lagi berketrampilan selaras dengan keperluan ummah dan Negara. Pendidikan di Darul Quran dan Maahad Tahfiz turut menyediakan asas penjanaan ke arah melahirkan generasi cendekiawan yang berkemampuan mengembalikan tradisi zaman kegemilangan keilmuan Islam.
Pada 16 April 1983 graduan-graduan dari Darul Quran telah diberi pengiktirafan oleh JPA setaraf dengan diploma Universiti Institut Teknologi Mara bagi membolehkan pelajar-pelajar lepasan Darul Quran ini menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam atau swasta sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam, pendidik atau pendakwah atau jawatan lain dalam bidang yang memerlukan tahap profesionalisme, berwibawa serta mempunyai personality yang tinggi. Ia juga diiktiraf oleh universiti dalam dan luar Negara, khususnya di Timur Tengah.
Graduan Darul Quran berpeluang mengikuti program ijazah Pertama di pusat-pusat pengajian tinggi seperti :

1-Maahad Qiraat Al-Azhar Al-Syariff
2-Universiti Malaya
3-Universiti Kebangsaan Malaysia
4-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
5-Kolej Universiti Islam Malaysia
6-Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kassim, Sumatera, Indonesia.


Manakala lepasan SPM dari Maahad Tahfiz, pelajar bebas memilih IPTA/IPTS dalam dan luar negeri mengikut cita-cita masing-masing. Pelajar yang lulus dalam peperiksaan STAM pula boleh memilih mana-mana institut pengajian di Timur Tengah, seperti Universiti Al-Azhar, Universiti Madinah, Jordan dan lain-lain. Pelajar yang menduduki peperiksaan STTQ pula berpeluang untuk menyambung pengajian secara terus dalam bidang Quran & Qiraat di Universiti Al-Azhar Cawangan Shoubra, Mesir.
Secara ringkasnya Darul Quran dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat serta institusi seumpamanya yang ditubuhkan di setiap negeri samada di bawah kerajaan persekutuan, negeri atau persendirian di seluruh Malaysia mempunyai peranan yang sama iaitu;
1. mengembangkan ilmu al-Quran kepada seluruh rakyat di negara ini
khususnya pelajar-pelajar.

2. Melahirkan para huffaz yang mahir isi kandungan al-Quran, berilmu, beramal dan bertakwa dan efisyen tentang isi kandungan al-Quran serta dapat merealisasikan dalam masyarakat.

3. Menyediakan kemudahan mengkaji al-Quran dan mempelajari Ulum al-
Quran.

4. Menghidupkan kembali Ulum Al-Quran dan memperdekatkan Ulum Al-
Quran kepada masyarakat.

5. Melahirkan individu yang mempunyai ilmu pengetahuan, beramal soleh,
bertakwa kepada Allah s.w.t. dan berakhlak mulia dan menjadi rujukan masayarakat

6. Memelihara isi kandungan al-Quran dan keaslian bacaannya dari sebarang
penyelewengan.

7. Menyediakan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi
samada di dalam atau luar negara.











PERATUS CARA BACAAN QIRAAT DI SELURUH NEGARA

Bolehlah disimpulkan sebegini:

Qiraat Naafi’ bin Abd Rahman melalui riwayat Qaaluun terdapat di Libya dan sebahagian di Tunisia (0.7%).
Adapun melalui riwayat Warsy terdapat di Jazair, Maghribi, sebahagian di Tunisia dan sebahagian di Sudan(3%).

Qiraat Abu ‘Amru al-Basri terdapat disebahagian wilayah di Sudan (0.3%)

Qiraat Ibn ‘Aamir al-Dimasyqi terdapat di Yaman (1%)

Dan selain daripada itu, kesemuanya mengamalkan Qiraat ‘Aasim bin Abi Najud melalui riwayat Hafs bin Sulaiman al-Khufi.(95%)


Bagi bacaan Imam Hamzah dan Imam Kisaie sudah pun pupus dalam ertikata tidak ada lagi masyarakat atau kumpulan yang mengamalkannya. Walaupun begitu kedua-dua bacaan ini masih lagi dipelajari di Institusi yang menawarkan pelajaran ilm Qiraat agar tidak pupus ditelan zaman.
















KESIMPULAN

Sesungguhnya al-Quran itu Kalam Suci, kata-kata Allah yang mesti dijaga dan dipelajari cara bacaan yang betul. Pembacaannya juga hendaklah secara tartil, sepertimana firman Allah yang telah dinyatakan di atas. Oleh amat wajarlah setiap umat Islam mempelajari ilmu tajwid dengan bersungguh-sungguh demi menghormati dan menjaga kesucian Kalamullah, mudah-mudahan pembelajaran ilmu tajwid akan dapat memperelokkan lagi pembacaan al-Quran.
Akhir kata, hendaklah kita sama sama berganding bahu dalam usaha memantapkan ilmu qiraat dan juga mengembangkannya kepada seluruh mesyarakat di Negara kita dan di serata alam.

No comments:

Post a Comment